Tokong Kuan Yin dibina di sekitar tahun 1800 oleh penduduk penempatan Cina awal dari masyarakat Hokkien dan Kantonis. Tokong ini asalnya dinamakan Tokong Kong Hock Keong (Tokong Kantonis-Hokkien) dan pada suatu ketika dahulu digunakan sebagai tempat sembahyang dan untuk mengadakan majlis-majlis sosial bagi masyarakat Cina di sini.
Bagaimana pun, fungsi sosial tokong ini diambil alih dengan terbinanya Dewan Perhimpunan Cina di sekitar tahun 1880s. Tokong Kuan Yin atau Goddess of Mercy Temple - merupakan tokong pertama yang dibina di Georgetown, Pulau Pinang oleh penduduk berbangsa Cina.
Tokong ini dibina sebagai penghormatan kepada Kuan Yin, seorang penganut agama Buddha yang alim yang dipercayai telah berjaya mencapai tahap nirwana tetapi telah memilih untuk kekal di bumi agar dapat memberikan nasihat dan bantuan kepada mereka yang juga sedang berusaha mencapai tahap nirwana.
Tokong ini juga dibina sebagai tanda penghormatan kepada Ma Chor Poh yang dikatakan berkuasa ke atas pengembara laut yang sangat dihormati oleh penduduk Cina di sini dan beliau telah mengembara di laut luas dari negara China untuk sampai ke Pulau Pinang.
Nikmati keindahan senibina tokong ini seperti tiang yang dilingkari ukiran naga yang diperbuat dari sejenis batu hijau yang menyokong bahagian bumbung tokong yang tinggi ini.
Lihat juga arca Kuan Yin yang terletak di bahagian dalam tokong yang merupakan bentuk seorang wanita yang mempunyai 18 tangan dengan air muka yang tenang dan tenteram.
No comments:
Post a Comment