Sunday, March 22, 2009

ISTANA POTALA (SENIBINA CHINA)

Istana Potala yang terletak di Lhasa, ibu kota Wilayah Autonomi Tibet China digelar sebagai "mutiara di bumbung dunia". Pada tahun 1994, Istana Potala disenaraikan sebagai Warisan Budaya Dunia.

Istana Potala terletak di lereng Gunung Hongshan di pusat Bandar Lhasa. Istana Potala mula dibina semasa pemerintahan Songzanganbu Tibet pada abad ke-7 masihi dan pada mulanya dinamakan Istana Hongshan. Kemudian, istana itu kian hari semakin banyak yang runtuh. Pada abad ke-17, Dalai Lama ke-5 membina semula Istana Potala. Semenjak itu, Istana Potala menjadi pusat politik dan agama Tibet. Istana Potala 13 tingkat dan setinggi 110 meter dan merupakan bangunan purba yang paling tinggi di Tibet. Istana itu dibina dengan batu dan kayu. Tembok istana itu dibina dengan batu granit. Tembok yang paling tebal mencatat 5 meter. Demi menambah kekukuhannya, kerangka besi telah diletakkan dalam lapisan tembok, dengan cara ini, masalah mengelakkan diri daripada serangan petir juga telah diselesaikan.

Istana Potala terdiri daripada Istana Putih di bahagian timur, Istana Merah di bahagian tengah dan rumah Lama berwarna putih di bahagian barat. Kerana Istana Potala dibina di lereng gunung, maka bangunan itu sangat tinggi dan megah, strukturnya kukuh dan mencapai taraf tinggi dalam estetika seni bina. Istana Putih merupakan tempat penginapan Dalai Lama, manakala Istana Merah merupakan beberapa dewan Buddha dan tempat pagoda didirikan sebagai makam Dalai Lama jenerasi-jenerasi dahulu. Antara pagoda-pagoda tersebut yang paling mewah ialah pagoda makam Dalai Lama ke-5 Luosangjiacuo. Pagoda itu setinggi 15 meter, pagoda itu terletak pada dasar yang berbentuk empat segi. Mayat Dalai lama ke-5 Luosangjiacuo dipelihara dengan rapi dan disimpan dalam pagoda itu. Pagoda itu disalut dengan 3724 kilogram emas dan sebanyak lebih 15 ribu butir berlian, permata, jed, mutiara dan batu akik yang berharga. Banyak alat persembahan tersimpan dalam dasar pagoda itu.

Dalam pembinaan semula Istana Potala semenjak abad ke-17, pelukis terbaik di Tibet telah melukis puluhan ribu lukisan yang cantik pada dinding-dinding dewan, laluan dan koridor di Istana Potala. Lukisan-lukisan tersebut telah menceritakan kisah tentang tokoh sejarah, kitab Buddha, bangunan, adat-resam rakyat, sukan dan aktiviti hiburan. Lukisan-lukisan tersebut adalah karya kesenian yang mempunyai nilai tinggi. Selain itu, dalam Istana Potala juga tersimpan 10 ribu buah barang kesenian seperti pahatan batu, kayu dan tanah liat, artifak sejarah seperti kitab agama Buddha yang ditulis pada daun serta barang kesenian kraf tangan tradisional seperti permaidani etnik Tibet, barang tembikar dan jed, barang-barang kesenian tersebut bukan sahaja mempunyai nilai kesenian yang tinggi, tetapi juga telah mencerminkan pertukaran bersahabat dan pertukaran kebudayaan antara bangsa Han dan etnik Tibet dalam sejarah selama lebih seribu tahun yang lalu.

No comments:

Post a Comment