Wednesday, March 11, 2009

TANDA WACANA SENI BINA ISLAM MALAYSIA (SENIBINA ISLAM)

BERKONSEPKAN seni bina moden kontemporari, berlatarkan Tasik Putrajaya dengan keindahan alam yang kekal tidak bersentuh di Presint 3, di situlah letaknya binaan sebuah bangunan berkerangka keluli atau digelar Masjid Besi, Putrajaya.

Indahnya binaan dari keluli itu mungkin masih belum dapat dilihat dengan mata kasar namun keunikan masjid yang keseluruhannya berkeluasan 73,795 meter persegi itu amat istimewa. Malah, Masjid Besi ini dikatakan bakal menjadi sebuah mercu tanda baru pusat pentadbiran negara dan kebanggaan komuniti Islam di Putrajaya.
Bagaimanapun, keluli hanya menjadi kerangka masjid kerana ia akan dikemaskan dengan material telus cahaya pada setiap tiang dan dinding menggunakan crystalized glass menjadikan masjid kelihatan berwarna putih dari jauh. Apabila malam, cahaya lampu akan menambah keindahan Masjid Besi yang boleh dilihat dari jambatan Seri Saujana.




Ciri istimewa lain masjid yang menggabungkan teknologi moden dari Jerman dan China ini ialah setiap panel dinding luar masjid dipanggil Masyrabiah diperbuat daripada anyaman besi tahan karat atau Architectual Wire Mesh yang mempunyai ciri unik iaitu telus cahaya dan angin membuatkan pengunjung selesa dengan hembusan angin segar.

Perjalanan menuju ke masjid melalui sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid dipanggil Kiblat Walk seluas 13,639 meter persegi. Kawasan yang menghadap kiblat ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Al Hambra.






Disambut binaan pintu gerbang konkrit yang dibina menggunakan glass reinforce concrete (GRC), pengunjung akan melalui Iwan Utama menuju ke laman atau Sahn dalam bahasa Arab. Indahnya binaan konkrit putih itu, ia dilatari ukiran Asma Ul Husna yang terkandung 99 nama Allah SWT menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth.
Menjengah ke ruang solat, mata pasti terpaku melihat dinding Mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 meter juga diimport khas dari Jerman. Pada cermin itu terukir kerja tangan tempatan iaitu dua baris ayat dari surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan surah Ibrahim di sebelah kiri.
Uniknya cermin itu, ia tidak memantul kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Dinding Mihrab inilah yang akan menjadi fokus utama ruang solat Masjid Putrajaya itu.

No comments:

Post a Comment